MEI 2022

Sarawak Bakal Terima 1.2 Juta Pelancong


KUCHING: Sarawak yakin dapat menarik seramai 1.2 juta pelancong dengan mencatat pendapatan RM3.2 bilion dalam industri pelancongan pada tahun 2022, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Sni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, pelancongan domestik akan menjadi penggerak dalam memulihkan semula industri di negeri ini.

Pembukaan semula pintu sempadan dan negara membenarkan pelawat masuk tanpa kuarantin bagi yang sudah divaksin sepenuhnya pada 1 April 2022, akan membolehkan mereka datang melawat negeri ini, katanya menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Abdul Karim berkata, mengikut laporan Pertubuhan Pelancong Dunia Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO), pergerakan pelancong di peringkat global pada Januari 2022 meningkat 130 peratus dengan berbanding tempoh sama pada 2021.

Mulai Januari hingga April 2022, beliau berkata, kedatangan pelancong ke negeri ini meningkat 574.35 peratus iaitu seramai 310,064 orang berbanding tempoh sama pada 2021.

Kementeriannya bersama dengan agensi berkaitan telah melaksanakan langkah jangka pendek untuk memulihkan industri pelancongan, seni dan budaya dengan sokongan dan penyertaan aktif pelbagai pemain industri pelancongan, tegas beliau.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memperkenalkan insentif potongan pengembaraan melalui Kempen Sia Sitok Siri 1.0, 2.0 dan 3.0 dan Kempen Penginapan Sia Sitok 1.0 dan 2.0 untuk menggalakkan pelancongan antara negeri.

Selain itu, katanya, kementerian juga memperkenalkan Kempen Pakej Insentif Pelawat (VIPS) dan Kempen Sia Sitok Sarawak Plus untuk meningkatkan pelancongan antara negeri.

Kempen Sia Sitok Sarawak mendapat sambutan menggalakkan dan mencatat nilai jualan lebih RM6 juta dengan sebanyak 2,269 pakej pengembaraan dibeli oleh 15,642 pelawat, tambahnya.

Abdul Karim berkata, dengan tawaran pakej pelancongan domestik lebih meluas akan menarik minat lebih ramai pelancong dalam negeri melawat Sarawak dan ini akan manfaatkan industri pelancongan.

Sumber dari : Jiwa Bakti